INTAN Maszura ketika ditemui bersama Mohd Hairie.
Abnor Hamizam Abd Manap
cnews@nstp.com.my

Tampin: Bukan saja anak memerlukan rawatan atas pelbagai penyakit, malah ketua keluarga yang menjadi punca pendapatan dibuang kerja kerana sering mengambil cuti.

Demikian situasi ditanggung Mohd Azizi Zakaria, 42, dan isteri, Intan Maszura Nordin, 36, dari Taman Sentosa, Gemas.

Intan berkata, dia dan suami buntu memikirkan soal perbelanjaan terutama bagi rawatan anak bongsu daripada empat beradik, Mohd Haire Haikal, 10, yang mengidap penyakit saraf, sawan, asma dan mata.

Menurutnya, lebih memberi tekanan apabila suaminya diberhentikan kerja sebagai pemandu di sebuah kuari di Bahau dengan alasan kerap mengambil cuti, sedangkan cuti itu untuk membawa Mohd Haire menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor dan Hospital Tuanku Jaafar ( HTJ ) Seremban.

Katanya, Mohd Hairie dilahirkan tidak cukup bulan melalui pembedahan pada November 2008 di Kuala Terengganu.

“Beberapa bulan selepas itu, saya mendapati perkembangannya terbantut selain tidak boleh merangkak berbanding kanak-kanak seusianya.

“Saya membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Segamat dan doktor mendapati ada masalah saraf pada tulang pinggul sehingga menyebabkan kakinya bersilang,” katanya.

Menurut Intan, anaknya menjalani pembedahan di Hospital Segamat Disember tahun lalu bagi membetulkan tulang pinggul namun beberapa bulan kemudian kakinya kembali bersilang.

Selain Mohd Haire, keluarga itu turut mempunyai seorang lagi anak istimewa, Nurrulalia Aqela, 11, yang mengidap autisme.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga Intan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank, 155078501263 atas nama Intan Maszura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 12:14 PM