DATIN Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. FOTO Aizuddin Saad
Faris Fuad
cnews@nstp.com.my


ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, pada 8.27 pagi.

Rosmah dilihat masuk ke pekarangan mahkamah itu menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam dengan diiringi motosikal trafik dan kereta peronda polis bagi menghadapi pertuduhan berhubung isu syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

Beliau yang memakai baju kurung dan selendang jingga masuk ke lobi mahkamah berkenaan dengan diiringi beberapa kakitangan SPRM terbabit.

Rosmah juga kelihatan tenang dan sempat tersenyum kepada wakil media sebaik tiba.

Tinjauan di sekitar lobi mahkamah itu mendapati lebih 100 pengamal media daripada pelbagai agensi berita tempatan dan asing mula berkumpul sejak 7 pagi ini bagi mengikuti perkembangan siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, turut kelihatan kira-kira 20 penyokong Rosmah termasuk pelakon, Ellie Suriaty yang berkumpul di sekitar lokasi sama bagi memberi sokongan terhadap beliau.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan Rosmah berhubung siasatan pengubahan wang haram selepas SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

Susulan itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah juga bermalam di SPRM malam tadi, sebelum dibawa ke mahkamah terbabit pagi ini untuk menghadapi pertuduhan berkenaan.

Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Tindakan memanggil beliau adalah bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 8:37 AM