SEBAHAGIAN arak yang dirampas. FOTO Roslin Mat Tahir
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my

KEGIATAN haram satu kumpulan menyimpan dan mengedar arak seludup dari India sejak dua tahun lalu lumpuh dengan tertangkapnya tiga individu di sekitar Klang, semalam.

Difahamkan, sebuah rumah teres dua tingkat disewa suspek untuk dijadikan stor simpanan pelbagai jenis minuman keras belum lulus kastam sebelum ia diedarkan kepada pasaran tempatan.

Arak berkenaan dipercayai turut membabitkan beberapa jenama yang tersenarai dalam kes keracunan alkohol sehingga mengorbankan puluhan nyawa, baru-baru ini.

Kegiatan mereka bagaimanapun berjaya dihidu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menyerbu premis itu antara 11.15 malam hingga 12.15 tengah malam tadi.

Dalam tempoh sejam itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 18 hingga 24 tahun dan merampas pelbagai jenama arak dianggarkan bernilai RM40,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil maklumat dan risikan menerusi Ops Methanol berjaya menahan suspek pertama di sebuah rumah di sekitar Bukit Tinggi, di sini.

“Ia kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan arak di Taman Sentosa.

“Hasil pemeriksaan kami menemui ribuan botol arak pelbagai jenama tanpa kelulusan kastam termasuk yang disyaki mengandungi methanol berlebihan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati arak itu diseludup masuk dari India dan premis berkenaan dijadikan stor simpanan sejak dua tahun lalu.

“Minuman keras termasuk beberapa jenama terkemuka itu kemudian akan diedarkan di kedai menjual arak tidak berlesen,” katanya.

Shamsul Amar berkata, semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan judi.

“Mereka akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1976 iaitu menyimpan bir belum lulus kastam.

“Kita juga sedang mengesan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 6:49 PM