SUSPEK yang melarikan dompet mangsa ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis di Kuching, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


TINDAKAN sia-sia seorang lelaki kerana bukan saja tidak sempat berjoli dengan wang yang dicuri, malah berjaya ditahan orang awam di Jalan Semarak, Kuching, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi, suspek, 29, menunggang motosikal dilihat dalam keadaan mencurigakan berhampiran gerai mangsa, 53, yang menjual nasi ayam penyet.

Suspek kemudian bergegas turun dari motosikal sebelum meluru ke arah mangsa dan melarikan dompet yang diletakkan di meja gerai berkenaan.

Terkejut dengan tindakan itu, mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum beberapa lelaki yang berada berhampiran mengejar suspek yang melarikan diri ke jalan utama.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, selepas beberapa meter dikejar, suspek berjaya ditahan dan berlaku sedikit pergelutan dalam usahanya untuk meloloskan diri.

Menurutnya, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian oleh orang awam kemudian bergegas ke lokasi sebelum membuat penahanan semula suspek.

“Polis menemui semula dompet mangsa yang dilarikan suspek dan mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 3:26 PM