DR Mahathir ketika tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang, selepas lawatan kerja di AS dan UK.
Rohaniza Idris dan Manirajan Ramasamy
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia boleh menjadi Harimau Asia semula dengan sambutan pelabur asing yang berjanji mahu melabur ke negara ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, berdasarkan reaksi pelabur pada pertemuan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mereka berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan mengenai kedudukan negara selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Katanya, mereka juga berjanji akan ke negara ini untuk melabur.

“Saya memberitahu apa yang diutamakan kerajaan adalah untuk mewujudkan seberapa banyak peluang pekerjaan bagi rak- yat di semua peringkat.

“Mereka (pelabur) membuat pengakuan memerlukan pegawai, jurutera dan pekerja majoriti untuk mengeluarkan barang yang bermutu tinggi,” katanya berucap di hadapan 300 penyokong PH yang menyambut beliau di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, semalam.

Beliau bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan rombongannya disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof serta beberapa timbalan menteri.

Dr Mahathir dan rombongan tiba kira-kira 6.25 petang dari London selepas mengunjungi United Kingdom dan Amerika Syarikat bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 di New York.

Dr Mahathir mengingatkan supaya tidak menghampakan pelabur asing dengan membuat persediaan dan bekerja keras serta tertib bagi memenuhi kehendak mereka.

Katanya, buktikan kepada pelabur ini bahawa Malaysia mampu mengeluarkan barang berkualiti dan buktikan negara ini mampu pulih serta kembali maju memegang semula gelaran ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi rantau ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pada pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, Theresa May, beliau memberikan taklimat khusus mengenai cara Malaysia menangani masalah rasuah.

Katanya, May berpuashati dengan taklimat itu dan terkejut dengan sambutan yang diberikan pelabur dan ahli perniagaan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 11:48 AM