KEADAAN di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka hadir bagi memberikan keterangan sekali lagi di Putrajaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Siti A'isyah Sukaimi dan Noor Atiqah Sulaiman

KIRA-KIRA 50 pengamal media masih menunggu ketibaan isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Mereka menunggu di luar pagar Ibu Pejabat SPRM seawal 8 pagi sebelum dibenarkan masuk dan menunggu di luar pintu lobi pejabat berkenaan.

Hari ini, Rosmah akan hadir untuk memberi keterangan kali ketiga di sini dan difahamkan, mungkin kali terakhir Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah terhadap beberapa pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Sementara itu, peguam beliau, Datuk K Kumaraendran dilihat memasuki bangunan Ibu Pejabat SPRM 10.04 pagi hari ini.

Media melaporkan, Rosmah dijangka 'meluangkan' lebih banyak masa untuk disoal siasat SPRM sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Tindakan memanggil beliau adalah bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 10:35 AM