NORMALA menjaga suaminya. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@nstp.com.my

“SAYA tak kenal sesiapa di sini, sebab itu terpaksa tidur dalam kereta adik ipar saja untuk dua hari bagi memudahkan menjaga suami yang kena strok,” kata Normala Sukaimi, 38.

Normala yang berasal dari Muar dan menetap di Puchong, Selangor berkata, dia terpaksa bergegas dan mengambil cuti tanpa gaji apabila mendapat tahu suaminya, Mohd Fadzly Mooh Noor, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori diserang strok ketika menghantar barang di negeri ini, minggu lalu.

“Suami kena (strok) minggu lalu pada Isnin ketika dia baru lepas hantar barang di sebuah restoran francais di bandar raya ini.

“Mujur pekerja di restoran itu memang sudah mengenalinya dan tolong hantar ke hospital ini apabila nampak dia sakit.

“Pihak hospital kemudian menghubungi saya memaklumkan suami kena strok. Tanpa berlengah saya terus datang ke sini bersama adik ipar dan dua anak,” katanya ketika ditemui NSTP di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Normala, berikutan tidak mempunyai tempat tinggal dan saudara atau kenalan di negeri ini, dia mengambil keputusan tidur dalam kereta untuk dua hari pertama.

“Adik ipar kemudian terpaksa balik dan tiga anak pula saya tinggalkan di rumah kakak dan adik di Muar. Mujur ada kawan kepada kawan yang sudi menumpangkan saya di rumah sewanya sehingga semalam.

“Saya kemudian dapat menyewa sebuah inap desa di Kampung Rhu Renggeh, Marang dan berulang-alik setiap hari ke hospital, mulai pagi hingga lewat petang,” katanya.

Menurutnya, dia tidak tahu sampai bila suaminya ditahan di hospital dan berharap ada yang sudi menghulurkan bantuan kewangan.

“Buat masa ini, masih ada lagi duit belanja tetapi tidak tahu untuk berapa lama. Jika ada yang sudi menghulurkan bantuan boleh hubungi saya di talian 012-2296118 atau deposit ke akaun Public Bank 4601 737 831,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 9:19 PM
Skip this ad x