Calon-calon PRK Port Dickson lebih gemar berkempen secara bersemuka seperti yang dilakukan calon PAS, Lt. Kol. (B) Mohd Nazari Mokhtar (berkopiah) ketika berkempen di sekitar Lukut. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


BAHANG cuaca lebih panas daripada bahang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Suasana itu ketara di Port Dickson sejak hari penamaan calon Sabtu lalu dengan terik matahari mula ‘menyengat’ seawal jam 9 pagi, membuatkan calon bersama serta jentera pilihan raya bermandi peluh setiap kali turun berkempen.

Memasuki hari keempat kem pen semalam, suasana PRK itu nyata belum ‘panas’ dengan tidak banyak bendera atau poster parti dan calon digantung.

Beberapa peniaga yang ditemui di sekitar bandar Teluk Kemang mengakui suasana seperti hari biasa, namun berharap baki 10 hari tempoh kempen dapat menceriakan mereka.


ANGGOTA tentera membuang undi hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Peniaga makanan, Mohd Zain Ali, 62, menggambarkan suasana kempen pilihan raya kali ini ‘biasa’ dirasai seperti Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Walaupun pertandingan tujuh penjuru, suasana kempen tidak sehebat berbanding bilangan calon bertanding.

“Sepatutnya calon perhebatkan kempen kerana enam daripadanya adalah ‘orang luar, pengundi mahu kenal siapa mereka untuk memudahkan membuat pilihan,” katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Peniaga nasi ayam, Rahman Hassan Basri, 23, berkata walaupun bendera tidak banyak digantung, namun tinjauan mesra serta ceramah calon rancak dijalankan.

“Mungkin cara kempen masa kini yang tidak memerlukan poster banyak tetapi lebih kepada pendekatan bertemu dan penggunaan media sosial,” katanya.

Pesara tentera, Abdul Rahman Said, 55, berkata suasana seperti sekarang adalah biasa kerana kemeriahan kempen lebih dirasai pada minggu terakhir.

Beliau yang menetap di Kampung Baru Si Rusa sejak lebih 20 tahun lalu, tidak mengharapkan pembangunan tambahan di Port Dickson, sebaliknya mahu calon yang dapat membantu rakyat hidup dengan lebih selesa dan harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 9:09 PM