Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


HANYA kerana terlupa mengajak suaminya membeli belah, wanita cedera dibelasah suaminya dalam kejadian di rumah mereka di Bekenu, Miri, Khamis lalu.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 30 tahun lebam di pipi selain sakit di belakang badan akibat ditampar dan ditumbuk suspek berusia 30 tahun.

Sumber memberitahu NSTP, kejadian berpunca apabila suspek bengang mangsa keluar ke bandar raya Miri untuk membeli barangan keperluan tanpa mengajak suspek.

“Setibanya mangsa ke rumah, suspek tiba-tiba mengamuk lalu membelasah mangsa.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Bekenu keesokannya,” katanya.

Katanya, suspek kemudiannya ditahan polis di kediamannya pada 5 petang semalam.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 3:06 PM