Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my


GAYA santai warga emas yang menjual nasi berlauk sambil menyanyi di Pasar Melor, Kota Bharu, mencuit hari pengunjung.

Mat Zain Hamat, 71, yang berasal dari Kampung Gajah Mati, Mahligai, Melor, sudah lebih 50 tahun berniaga.

Katanya, hobi menyanyi lagu patriotik ketika berniaga adalah secara spontan dan kebanyakan pembeli terhibur sambil menunggu nasi mereka siap dibungkus.

“Antara lagu kegemaran pakcik ialah Bahtera Merdeka yang dipopularkan oleh Aishah serta Ayah dan Ibu yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman.

“Pakcik tidak menyangka telatah ini mampu mencuri perhatian pengunjung terutamanya pada hari Isnin dan Jumaat kerana ada pasar tani di kawasan Pasar Melor,” katanya ketika ditemui di Pasar Melor, di sini, hari ini.

Datuk kepada 13 cucu dan seorang cicit itu berkata, setiap hari dia bangun seawal 5 pagi untuk memasak dan menyiapkan 15 jenis lauk sambil dibantu oleh isteri, Hasnah Idris, 69.


MAT Zain Hamat, 71, (dua kiri, berkopiah) dan dibantu isterinya, Hasnah Idris, 69 (kiri) melayan pelanggan yang datang membeli nasi di kedainya di Pasar Melor. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

“Pakcik berniaga di pasar ini enam hari seminggu bermula 9 pagi hingga 6.30 petang.

“Walaupun kelima-lima anak sudah besar dan bekerja, namun demi memenuhi permintaan pelanggan, pakcik datang ke pasar untuk berniaga nasi berlauk,” katanya.

Katanya, dengan usianya yang semakin tua, dia bersyukur kerana masih diberi kesihatan yang baik untuk terus mencari rezeki.

“Pakcik sudah terbiasa dengan pekerjaan ini sejak dari muda lagi dan biasanya kalau cuti kerana demam atau sakit urat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 2:46 PM