GAMBAR hiasan
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


ENAM lelaki ditahan di tiga daerah di negeri ini selepas dipercayai terbabit dalam kes samun dan curi jentera berat membabitkan kerugian bernilai RM500,000 sejak Januari lalu.

Suspek berusia antara 33 hingga 65 tahun ditahan di sekitar Kampar, Ipoh dan Manjung dalam operasi khas oleh sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sejak 15 September lalu dan berakhir kelmarin.

Ketua Polis Negeri Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya mengesan kumpulan berkenaan yang aktif melakukan kegiatan jenayah samun dan curi jentera berat di tiga kawasan berkenaan.

Katanya, mereka dipercayai melakukan 10 kes samun sejak Januari hingga bulan lalu membabitkan kerugian RM500,000.

“Dalam operasi khas berkenaan, polis menahan enam lelaki dalam serbuan berasingan di Ipoh, Kampar dan Manjung.

“Semua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan samun, curi dan dadah,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kampar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.

Hasnan berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas jentera berat jenama Sumitomo, sebuah lori dan beberapa komponen mesin jentera berat yang jumlah keseluruhannya bernilai RM200,000.

“Dengan tertangkapnya semua suspek, polis berjaya menyelesaikan 10 kes samun iaitu empat kes di Kuala Kangsar, empat di Manjung dan dua kes di Gerik.

“Dalam pada itu, polis meminta orang ramai untuk mengesan seorang lelaki amat dikehendaki bernama M Selvakumaran berusia 30 tahun berasal dari Kuala Kangsar bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, pihaknya giat mengesan saki-baki ahli kumpulan itu berhubung kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


HASRON Nazri (kanan) menerima tongkat kuasa daripada Kong Soon (kiri) sambil disaksikan Hasnan, hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman

Sementara itu, pada majlis berkenaan, bekas Ketua Bahagian Pengurusan IPD Sepang Superintendan Hasron Nazri Hashim memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Asisten Komisioner Ng Kong Soon.

Kong Soon dinaikkan pangkat dan memegang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKKK) (Perancangan Strategik) negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 1:47 PM