GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 17 kontraktor untuk membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu.

Suspek berusia antara 30-an hingga 60-an itu terdiri daripada 12 lelaki dan lima wanita daripada syarikat berasingan.

Mereka ditahan di Pejabat SPRM Johor pada 12 tengah hari ini, bagi membantu siasatan sedang dijalankan.

Hasil siasatan awal mendapati semua suspek membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan Untuk Semua Daerah Di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang, dan Kota Tinggi bagi 2015.

Tuntutan itu dibuat walaupun sebenarnya program berkenaan tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang dituntut melebihi RM90,000.

Menurut sumber, siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan membuktikan sama ada terdapat penjawat awam terbabit di sebalik tuntutan ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi serta penjara sehingga 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok bagi permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 9:21 PM