Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


PEMANDU kereta nyaris maut apabila sebatang pokok tumbang dan dahannya menghempap kenderaannya di Jalan Pekan Baru, Klang, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang, hujan lebat serta ribut di sekitar Klang menyebabkan beberapa lokasi terjejas teruk akibat pokok tumbang dan zink pada struktur bangunan melayang.

Mangsa yang juga kakitangan swasta, Nordin Ahmad, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang memandu untuk menuju ke kedai tidak jauh dari situ.

“Ketika saya melalui jalan itu, angin tidak terlalu kuat namun saya lihat banyak pokok sudah tumbang.

“Namun, apabila saya melintasi satu kawasan perumahan, tiba-tiba sebatang pokok tumbang betul-betul depan mata menyebabkan serpihan pokok menghempap bumbung kereta saya,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan cermin hadapan kereta Nissan Almera dipandunya itu retak manakala bumbungnya kemek.

“Nasib baik saya hanya pandu perlahan. Jika saya tekan minyak ketika itu belum tentu saya masih boleh selamat kerana batang pokok itu sangat besar.

“Saya bersyukur berikutan tidak ada perkara buruk berlaku. Alhamdulillah, apa yang penting saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Tadika Eng Ann, Joyce Tan, 43, berkata, kejadian itu menyebabkan sengkuap (awning) mudah alih dipasang di premisnya roboh.

Beliau berkata, ketika kejadian, hujan sangat lebat dan angin bertiup kencang.

“Tiba-tiba saya dengar ada bunyi seperti zink runtuh. Apabila saya menjenguk keluar saya tengok ‘awning’ depan tadika sudah runtuh.

“Namun, kami bersyukur tiada apa-apa yang berlaku dan semuanya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi di sekitar Klang.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan aliran trafik di Jalan Sireh, Jambatan Musaidin dan Jalan Meru bergerak perlahan ekoran hujan dan kejadian pokok tumbang.

NSTP difahamkan, ribut turut menerbangkan bahagian bumbung di pasar raya di Klang.

Bagaimanapun, pengurusan pasar raya berkenaan enggan mengulas atau membenarkan pemberita memasuki kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 9:01 PM
NORDIN menunjukkan cermin keretanya retak terkena serpihan pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Pekan Baru, Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.