SHUHAIDA menemui bayi lelaki baru dilahirkan di perkarangan rumahnya.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


SURI rumah terkejut sebaik menemui bayi lelaki yang baru dilahirkan di perkarangan rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, hari ini.

Menurut Shuhaida Saat, 43, dia menyedari bayi itu ditinggalkan di lokasi itu apabila hendak keluar rumah untuk mengambil barang dihantar sepupunya kira-kira 6 pagi tadi.

Katanya, bayi itu yang masih bertali pusat didapati tidak berpakaian dan hanya berselimut serta dialas dengan jaket bewarna hitam.

"Saya kemudian meletakkan bayi itu di atas kerusi di ruang depan garaj.

"Saya amat bersyukur kerana tindakan saya keluar rumah awal membantu menyelamatkan nyawa bayi itu yang pasti akan kesejukan dan kelaparan memandangkan dia ditinggalkan dalam keadaan begitu," katanya ketika dihubungi di Rawang, hari ini.

Beliau yang menetap di kawasan perumahan itu sejak lapan tahun lalu berkata, dia sudah memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

"Saya dimaklumkan bahawa bayi akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 7.10 pagi tadi.

"Difahamkan bayi itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan tuala dan masih terdapat kesan darah pada bayi berkenaan.

"Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di Rawang, hari ini.

Samsor berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

"Orang Ramai Yang Mempunyai Maklumat Lanjut Berhubung Kejadian Itu Diminta Menghubungi Balai Polis Berhampiran Bagi Membantu Siasatan," Katanya.

Keterangan gambar:

1. SHUHAIDA Saat, 43, menemui bayi lelaki baru dilahirkan di depan rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, pagi tadi.

From: No'Rule

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 6:11 PM