Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my

LELAKI, 30-an, cedera pada tangan dan badan selepas ditikam isterinya dengan pisau di Taman Saga di Kulai, pada Sabtu lalu.

Difahamkan, kejadian pada 9 pagi itu berlaku selepas kedua-duanya bertengkar di rumah teman lelaki kepada isterinya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, ketika kejadian, lelaki terbabit dipercayai memujuk isterinya untuk pulang ke rumah.

"Ia mengakibatkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan isterinya, sebelum suspek mengambil sebilah pisau di dapur rumah itu.

"Wanita itu kemudian dipercayai menikam mangsa menyebabkan lelaki itu

cedera di badan dan tangan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

Tok berkata, wanita itu kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal sebelum ditahan polis, hasil maklumat awam.

“Bertindak atas maklumat pada jam 1.40 tengah hari, pada Sabtu lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kulai membuat serbuan di sebuah restoran di Kulai.

"Berikutan itu, isteri mangsa berusia 26 tahun dan seorang lagi wanita berusia 33 tahun berjaya ditahan," katanya.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati isteri mangsa berusia 26 tahun memiliki rekod jenayah lampau.

“Dia dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kedua-dua suspek ditahan sehingga 3 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 4:55 PM