Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


HANYA kerana takut diminta membayar ganti rugi ekoran terbabit kemalangan jalan raya, pekerja kilang sanggup mereka cerita dengan mendakwa kereta pacuan empat roda milik syarikatnya bekerja dicuri individu tidak dikenali.

Pekerja warga Nepal itu hadir ke balai polis membuat laporan kononnya kenderaan yang ditinggalkan di rumah dekat Taman Limau Manis, Bukit Mertajam hilang ketika dia mahu ke tempat kerja, 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, menurut pekerja itu, dia meninggalkan kenderaan berkenaan dalam keadaan berkunci, namun terkejut sebaik mendapati kereta itu hilang lalu membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, pada hari sama, 2.23 petang, majikan tempat pekerja itu bekerja membuat laporan polis mengenai penemuan semula kenderaan berkenaan di kampung dekat sini.

“Namun, kereta terbabit berada dalam keadaan tidak sempurna seperti mengalami kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, soal siasat mendapati pekerja itu membuat laporan palsu dan menahannya untuk siasatan lanjut.

“Pekerja terbabit memberitahu bahawa dia keluar menggunakan kenderaan itu sebelum terbabit dalam kemalangan ketika berada di Jalan Bukit Minyak.

“Oleh kerana takut diminta untuk membayar ganti rugi oleh majikan, pekerja itu pulang ke rumah dengan berjalan kaki dan membuat perancangan untuk menyatakan kenderaan berkenaan hilang bagi menutup kejadian yang sebenar,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis sudah membuat siasatan di lokasi kemalangan yang dimaklumkan suspek dan pemeriksaan ke atas kenderaan itu juga tidak menemui unsur-unsur bahawa ia dicuri kerana kuncinya berada dalam keadaan baik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 2:56 PM