PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Pembangunan Insan negeri, Dr Salmee Said (dua kanan) dan Pengarah Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Nordin Sariju (kanan) beramah mesra bersama pemenang selepas merasmikan Program Pertandingan MYCCSKILLS di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


FIZIKAL kecil dan kurus tidak menjadi penghalang kepada penuntut Kolej Komuniti Kuala Terengganu muncul juara Pertandingan Kemahiran Kolej Komunititi (MyCCSKills) 2018 yang berlangsung di Jitra, semalam.

Lebih mengejutkan, kemampuan Muhammad Za’im Zakaria,18, yang berjaya merombak set selinder enjin kereta, mengukur komponen enjin dan memastikan enjin yang dipasang hidup serta berfungsi dengan baik hanya dalam tempoh dua jam 45 minit.

Penuntut semester pertama itu turut mengatasi 29 peserta lain termasuk penuntut senior dalam pertandingan kategori automobil yang diadakan di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman (KKBDA) di sini.

Muhammad Za’im berkata, dia baharu sahaja mengenali enjin secara formal tiga bulan lalu, selepas diterima menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

“Masa ditetapkan juri bagi merombak dan memasang semula enjin adalah tiga jam, tetapi saya lakukannya lebih cepat berbanding peserta lain.

“Saya memang berminat dalam enjin automatif dan belajar bersungguh-sungguh sejak diterima menyambung pengajian di Kolej Komuniti sehingga mampu mengetahui cara merombak dan memasang enjin,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan semalam.

Muhammad Za’im berharap, selepas ini dia akan bekerja keras bagi menghadapi Pra-WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2019 membabitkan institusi kemahiran seluruh Malaysia.

Sementara itu, Genesis Pungga Geraji, 19, berkata, dia tidak menyangka dapat memenangi kategori pemasangan elektrik pada pertandingan sama.

“Pertandingan ini memerlukan kami membuat lukisan pendawaian mengikut soalan, memasang semua aksesori elektrik serta pendawaian motor satu fasa sebelum membuat atucara Sistem Kawalan Automasi (PLC) dalam tempoh enam jam.

“Kemudian baru kami memuat turun aturcara PLC ke dalam program perisian Siemen Logo dan saya berjaya melakukannya semua dalam tempoh lima jam 20 minit,” katanya yang berasal dari Sarawak.

Muhammad Za’im dan Genesis masing-masing menerima pingat emas dan sijil dalam pertandingan berkenaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Dr Salmee Said.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 9:47 AM