PENYELAM dari Jabatan Taman Laut Malaysia Terengganu memotong pukat yang merosakkan terumbu karang dalam operasi di Besut, hari ini. FOTO ROSLI ILHAM.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


TABIAT nelayan membuang pukat di laut akan menyebabkan kepupusan terumbu karang di Terengganu semakin serius pada masa depan.

Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Terengganu, Muhammad Nur Ashry Bassari, berkata selain nelayan tempatan, nelayan asing turut dikesan melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 25 bidang pukat dianggarkan seberat 2.5 tan yang dibuang nelayan ditemui tersangkut pada terumbu karang, sekali gus merosakkan ekosistem itu.

“Pukat terbabit bukan saja merosakkan terumbu karang, malah turut menjadi punca kematian ikan termasuk penyu yang tersangkut pada pukat.

“Kami mengesan kes ini banyak berlaku di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah, Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Tenggol,” katanya selepas operasi memotong pukat di Pulau Perhentian di Besut, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa melakukan kerja selaman sebelum memotong pukat berkenaan.

“Hari ini, kami melakukan operasi memotong 200 kilogram pukat di Pulau Perhentian membabitkan kerjasama pasukan penyelam dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pendidikan negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Kelantan, Dive Shop dan penduduk kampung.

“Pukat terbabit diangkat sebelum dibawa naik ke darat untuk dilupus.

“Kami percaya nelayan memukat menghampiri kawasan terumbu karang dan sebaik melihat rondaan pihak berkuasa mereka akan memotong pukat terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha mengesan dan melupuskan pukat terbabit dalam usaha menyelamatkan terumbu karang dan hidupan marin di Terengganu.

Menurutnya, kawasan terumbu karang di negara ini termasuk Terengganu mempunyai sumber perikanan sangat penting apabila pelbagai spesies ikan komersial berlindung, membiak, mencari makan dan membesar.

Katanya, program menyelamat batu karang itu bukan sahaja terletak di bahu agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya semua pihak termasuk orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu sama-sama membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 8:43 PM