Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

PADAH menunggang motosikal secara berbahaya, lima lelaki termasuk seorang remaja ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan (Op Samseng Jalanan) di dua lokasi sekatan jalan raya, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Operasi bermula jam 11 malam tadi hingga 5 pagi itu dijalankan dua lokasi membabitkan Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) yang sering menjadi ‘litar’ lumba haram di sekitar pusat bandar ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi itu dijalankan oleh tiga pegawai dan 23 anggota.

“Dalam operasi itu, kami menahan lima lelaki termasuk seorang remaja, berusia antara 17 hingga 25 tahun selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya seperti melanggar arus, bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi meniarap atas motosikal ketika menunggang atau lebih dikenali sebagai aksi ‘Superman’ di kedua-dua lokasi.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di Jalan Tun HS Lee bagi siasatan kes mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkefly berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 20-an mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 230 motosikal dan 35 kereta diperiksa dalam operasi itu. Daripada jumlah itu, 11 motosikal serta tujuh kereta disita kerana kesalahan ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos dan menggunakan cermin gelap.

“Selain itu, kami turut mengeluarkan sebanyak 191 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi, menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tiada nombor pendaftaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 9:18 AM
POLIS melakukan pemeriksaan dalam operasi itu. FOTO Ihsan Polis