ANWAR Ibrahim ketika mendaftar pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak akan mengumumkan peruntukan lebih awal seperti diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi meraih sokongan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Sebaliknya calon PKR itu mahu rakyat melihat pembangunan dan pembaharuan yang akan dilakukannya sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Anwar berkata, sepanjang berkempen beliau tidak akan menawarkan apa jua peruntukan untuk memenangi hati pengundi sebaliknya mahu bersikap lebih telus.

"Saya tidak akan melakukan apa yang dibuat BN iaitu mengumumkan peruntukan awal tetapi, jika saya menang di Port Dickson, anda lihatlah sendiri," katanya berucap kepada penyokongnya ketika berkempen di Kelab Sukan Pasir Panjang, Port Dickson, hari ini.

Menurut Anwar, apa yang pasti adalah penduduk akan menerima manfaat kerana kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditadbir urus oleh Pakatan Harapan (PH).

"Mengumumkan peruntukan awal bukanlah amalan saya. Setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) atau PRK mesti bagi duit tetapi selepas semuanya selesai, ada pula hantu raya mencuri wang," katanya menerima tepukan kira-kira 200 penduduk.

Anwar dalam pada itu berharap penduduk Port Dickson memberikan sokongan kepadanya dan beliau ingin memberi tumpuan terhadap sektor pelancongan, pendidikan, kebajikan veteran tentera, peluang pekerjaan dan perumahan buat golongan bawahan serta pertengahan.

"Saya tahu bukan semua orang di Linggi, Pasir Panjang dan Bagan Pinang orang kaya. Penyertaan saya dalam PRK ini bukanlah semata-mata mahu kembali ke Dewan Rakyat tetapi untuk mengambil tahu masalah dan membantu orang di sini," katanya.

Anwar pada masa sama meminta penduduk daerah ini memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjaga negara ini sebaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 11:52 PM