Caption<ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini. FOTO Ihsan APMM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


MAYAT lelaki tanpa pengenalan diri ditemui terapung kira-kira 0.5 batu nautika barat muara Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan pada 10.35 pagi daripada Balai Polis Kuala Kedah selepas seorang nelayan membuat aduan menemui mayat lelaki terapung ketika melalui kawasan itu.

Menurutnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah kemudian menggerakkan sebuah bot bersama empat anggota ke lokasi itu.

“Mayat kemudian dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

“Sehingga kini pihak Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam berhubung kehilangan ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 4:32 PM