KEADAAN ambulans yang membawa pesakit dari Hospital Mukah terbabit dalam kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya
cnews@nstp.com.my


TIGA penumpang, termasuk seorang pesakit cedera selepas ambulans dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu, hari ini.

Dalam kejadian 1.45 petang itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan menghantar pesakit terbabit yang ditemani ibunya dan seorang jururawat dari Hospital Mukah ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbalik.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu, Kapten Frankie John Jawan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan ketiga-tiga mangsa hanya cedera, selain mengalami trauma susulan insiden menimpa mereka.

Manakala, pemandu ambulans dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bilik Gerakan APM Sibu menerima panggilan kecemasan 1.59 petang sebelum tiga anggota bersama ambulans paramedik dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menyalurkan bantuan,” katanya.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sibu yang terletak berhampiran untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 8:17 PM
Skip this ad x