Caption<PENDATANG asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi di Sungai Buloh, semalam. FOTO Ihsan JIM Selangor
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di sekitar kawasan perindustrian di Sungai Buloh, semalam.

Operasi selama enam jam bermula 6.30 petang itu dijalankan di tujuh lokasi serentak membabitkan 21 pegawai dan anggota JIM.

Pengarah Imigresen Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas 126 warga asing, seramai 43 PATI berusia 20 hingga 55 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka terdiri warga Bangladesh seramai 22 orang, tujuh warga Thailand, dua warga Indonesia, dua warga India dan 10 warga Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, lokasi serbuan iaitu kawasan perindustrian yang menjadi tumpuan pekerja warga asing sekali gus menjadikan bilangannya ramai, namun sebilangan besar daripada mereka mempunyai dokumen sah.

“Operasi dilakukan berikutan rungutan orang ramai mendakwa terdapat lambakan warga asing di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan dan pemerhatian mendapati kawasan berkenaan mencatat jumlah warga asing yang tinggi disebabkan ia adalah kawasan perindustrian.

“Kebanyakan yang diperiksa mempunyai dokumen perjalanan dan pas atau permit yang sah serta teratur selain didapati bekerja di kilang di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

“JIM Selangor akan mempergiatkan operasi secara berterusan untuk membanteras kebanjiran PATI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 8:05 PM