Caption<ANGGOTA Pasukan Polis Marin menunjukkan sebahagian daripada baja bersubsidi yang dirampas dalam dua serbuan di Alor Setar, semalam. FOTO Ihsan PPM
Hamzah Osman
cnews@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 190,000 beg baja bersubsidi bernilai RM350,000 dalam dua serbuan di Kampung Simpang Kuar, Alor Setar, semalam.

Dalam serbuan pertama jam 10.30 malam, dua pekerja lelaki warga asing berusia 30-an ditahan, diikuti penahanan pemilik gudang berusia 40-an ketika serbuan kedua di kawasan berdekatan.

Komander PPM Wilayah Satu Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejayaan itu hasil Ops Bersepadu bersama PPM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah.

“Kita menerima maklumat dari Unit Risikan Marin memaklumkan satu aktiviti penyelewengan memproses baja bersubsidi giat dilakukan di premis berhampiran sungai di kampung terbabit.

“Serbuan pertama berjaya menahan dua lelaki warga asing, dan siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan pemilik premis iaitu seorang lelaki tempatan di kawasan berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya merampas 60,000 beg baja bersubsidi dalam serbuan pertama, diikuti 130,000 beg lagi dalam serbuan kedua dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM350,000.

“Siasatan awal mendapati baja subsidi terbabit dibeli dari petani tempatan yang sepatutnya digunakan dalam sektor pertanian tetapi diseleweng dengan cara dibungkus semula sebelum dijual di Johor, Pahang dan Selangor.

“Ketiga-tiga suspek dibawa ke pejabat KPDNHEP Kedah di Alor Setar untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 6:28 PM