Caption<
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa tegas dan tidak berkompromi terhadap pegawai serta kakitangan agensi itu sekiranya terbabit dalam aktiviti rasuah atau sebarang pelanggaran integriti.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan dalaman termasuk dibuang kerja, gantung atau diturunkan pangkat jika mereka didapati bersalah terbabit dalam aktiviti jenayah itu.

“Kita juga melakukan beberapa tangkapan terhadap pegawai Imigresen dan sindiket yang terbabit dalam aktiviti rasuah dan salah guan kuasa mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan menghadapkan mereka yang terbabit ke mahkamah.

“Bagi membendung masalah ini, Imigresen sentiasa melakukan usaha menerapkan nilai integriti tinggi kepada pegawai dan kakitangan termasuk daripada aspek pendidikan selain strategi pencegahan daripada segi sistem prosedur kerja dengan memperkemaskan sistem dan tatacara kerja sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas enam pegawai agensi penguat kuasaan itu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menurutnya, pihaknya serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai Imigresen sentiasa berada di tahap maksimum dengan menjalankan program pematuhan serta kesedaran memerangi salah guna kuasa serta menjalin kerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM.

Katanya, Imigresen juga serius mengambil tindakan terhadap sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran seperti tindakan yang sudah dan terus diambil dengan menangkap dan menghadapkan mereka ke mahkamah.

Berita berkaitan

Enam pegawai Imigresen ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 5:59 PM