Teoh Pei Ying dan Fazrik Kamarudin dan Husna Alias
cnews@nstp.com.my

SEORANG individu bergelar Datuk Seri antara 99 yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket Macau Scam di Jalan Stesen Sentral, KL Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam serbuan yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pada jam 1.40 tengah hari itu, sindiket yang beroperasi sebagai pusat panggilan itu menjadikan bangunan pejabat mewah sebagai markas untuk menawarkan pelaburan kepada pelanggan di China.

Amar Singh berkata, seramai 99 individu berusia 14 hingga 44 tahun membabitkan 78 lelaki serta 21 wanita yang bekerja di pusat panggilan itu ditahan termasuk seorang lelaki berpangkat Datuk Seri.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 93 adalah warga China dan enam warga tempatan.

“Ketika serbuan, kesemua suspek sedang membuat panggilan menawarkan perkhidmatan pelaburan saham kepada pelanggan warga China yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini memperolehi keuntungan lebih RM50,000 sebulan, mereka menjadikan Malaysia sebagai pusat kegiatan kerana wujudnya kebocoran data peribadi selain adanya penggunaan Voice Over Internet Protocol (VOIP) bagi mengendalikan panggilan luar negara," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, di Kuala Lumpur, hari ini.

Amar Singh berkata, antara barang milik sindiket itu yang dirampas adalah telefon bimbit (169 unit), komputer riba (114 unit), buku catatan (19 unit), pasport (16 keping) dan sebuah Toyota Vellfire.

“Sindiket yang mensasarkan kebanyakan mangsa warga China ini tidak beroperasi pada satu tempat sahaja, ia untuk menyukarkan kegiatan mereka dikesan.

“Suspek akan memperdayakan mangsa untuk membeli saham yang kononnya diyakini memberi keuntungan dalam masa yang singkat.

“"Kesemua suspek kini masih direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 4:21 PM