Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my

SEORANG anggota polis menerima lima jahitan di siku kiri selepas dilibas senjata tajam ketika menjalankan operasi membanteras dadah di sebuah kawasan setinggan di Penampang, semalam.

Kejadian pada jam 4.45 pagi berlaku ketika anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu bersama sepasukan polis menyerbu sebuah rumah disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sebelum seorang lelaki bertindak agresif melibas parang ke arah mangsa.

Operasi itu membabitkan pegawai polis dari pelbagai cawangan IPD Penampang yang diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa pasukan polis mengepung sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan berkenaan.

“Secara tiba-tiba seorang lelaki yang berada di hadapan rumah itu cuba melarikan diri dan anggota polis (mangsa) yang berada berhampiran suspek cuba menghalangnya.

“Suspek bagaimanapun bertindak agresif melibas sebilah parang panjang ke anggota polis itu. Secara spontan mangsa menghalang libasan parang menggunakan tangannya dan menyebabkan siku sebelah kiri luka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, suspek kemudian berjaya ditangkap oleh anggota polis lain dan merampas parang digunakannya dalam kejadian itu.

“Polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 5.28 gram. Suspek warga asing berusia 48 tahun didapati positif dadah dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.

“Anggota polis yang cedera mendapat rawatan di hospital dan menerima lima jahitan. Kes disiasat mengikut 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 9:18 AM