Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my

LELAKI dihukum mati, manakala rakannya yang juga juvana dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Taiping, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh isteri seorang anggota polis, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Asmadi Hussin menjatuhkan itu terhadap A Nagarujun, 22, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rakannya yang kini berusia 20 tahun dikenakan penjara.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama membunuh Izaah Abdullah, 52, di No 9, Laluan Tanjung 4, Taman Tanjung Emas, Ulu Kinta, Ipoh, antara 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, pada 11 Februari 2015.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Asmadi sebelum menjatuhi hukuman itu berkata, mahkamah mendapati melalui keterangan saksi-saksi digabungkan menjurus kepada satu kesimpulan bahawa kedua-dua tertuduh melakukan pembunuhan ke atas mangsa.

Katanya, mahkamah dengan itu mendapati kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan disabitkan dengan kesalahan.

“Tertuduh pertama (juvana) ketika kejadian berusia 16 tahun lebih, mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman mati dan dengan ini mahkamah memerintahkan tertuduh ditahan dipenjara sehingga mendapat pengampunan pemerintah negeri.

“Bagi tertuduh kedua (Nagarujun), mahkamah menjatuhkan hukuman gantung di leher sehingga mati,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz, manakala Nagurujun diwakili peguam Datuk Naran Singh dan tertuduh berusia 20 tahun diwakili Ranjit Singh.

Sementara itu, anak tunggal mangsa, Zulfadhli Sallehuddin, 30, yang hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu berpuas hati dengan keputusan dibuat mahkamah.

“Saya puas hati dan terima kasih kepada semua yang mendoakan, keputusan setimpal dengan perbuatan terhadap ibu saya.

“Kami sekeluarga trauma dengan kejadian itu dan tidak lagi tinggal di rumah berkenaan kerana banyak kenangan dengan arwah,” katanya yang ditemui di perkarangan mahkamah.

-tamat-

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:38 PM
NAGURUJUN ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO L Manimaran