ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kaki kanan kanak-kanak perempuan yang termasuk dalam saluran air di rumahnya di Taman Pasir, Serian, semalam. FOTO Ihsan JBPM Sarawak
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


KANAK-KANAK perempuan terpaksa menanggung kesakitan lebih tiga jam selepas kaki kanannya ‘tersangkut’ pada saluran air di rumahnya di Taman Pasir, Serian, semalam.

Mangsa berusia enam tahun itu dikatakan masuk ke tandas sebelum kaki kanannya termasuk ke dalam saluran air pada 12 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.13 tengah hari sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian dihantar ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ahli keluarga mangsa yang menyedari kejadian beberapa kali mencuba untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit dari saluran berkenaan, namun gagal.

Katanya, bimbang risiko kecederaan boleh berlaku menyebabkan mereka menghubungi bomba untuk bantuan lanjut.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas iaitu ‘rambar tool’ dan pemecah simen untuk memecahkan simen berhampiran saluran air.

“Pasukan perubatan juga dipanggil bagi membantu menenangkan mangsa yang ketakutan,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga jam memecahkan simen, anggota bomba berjaya memotong saluran air dan menariknya keluar bersama kaki kanan mangsa sebelum menggunakan gergaji untuk mengeluarkan kakinya.

Katanya, tiada kecederaan serius dialami dan mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 6:12 PM