GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


MENJANJIKAN keuntungan berganda kepada pelabur terutama ahli perniagaan bagi penjualan lot kubur, namun wang milik mangsa dilarikan suspek selepas diperdayakan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga ahli perniagaan warga India berusia 47 tahun kerugian RM800,000 selepas diyakinkan lelaki terbabit untuk membeli lot kubur berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, mangsa menemui suspek di Petaling Jaya pada Mei lalu sebelum bersetuju membuat pembayaran pelaburan.

Katanya, suspek kemudian meminta mangsa untuk memindahkan wang berkenaan ke akaun banknya.

“Mangsa memindahkan wang pelaburan itu sebanyak dua kali dengan kali pertama dia memindahkan ke sebuah akaun bank, manakala bakinya dibayar secara tunai.

“Selepas memindahkan wang berkenaan suspek kemudian gagal dihubungi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Pada majlis itu, Superintendan Risikin Satiman menggantikan Asisten Komisioner Choo Lily yang dinaikkan pangkat ke Bukit Aman.

Muhammad Azlin berkata, mangsa yang berasa curiga membuat pemeriksaan sebelum menyedari dia ditipu lelaki terbabit.

“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 5:52 PM