Caption<FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@nstp.com.my


SERAMAI 13 lelaki masing-masing dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan menganggotai ‘Geng 08’ iaitu sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh berusia antara 19 dan 38 tahun selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah apabila ditawarkan dengan pertuduhan pindaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor meminda pertuduhan ke atas kesemua tertuduh daripada Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap antara 23 Mac dan 18 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pindaan, mereka didakwa menganggotai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu ‘Geng 08’ di sekitar Kuala Lumpur antara 23 Ogos 2013 dan 28 Mac lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Sebelum ini, mengikut pertuduhan asal, kesemua mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.

Dalam rayuan mereka, tertuduh merayu mahkamah memberikan hukuman ringan iaitu penjara dari tarikh tangkap.

Muhammad Fadzlan bagaimanapun memohon kesemua tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira perbuatan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang sebagai kesalahan serius.

Sementara itu, enam lagi tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan dibacakan ke atas mereka.

Berikutan itu, Azman melepas tanpa membebaskan keenam-enam tertuduh berkenaan dan mereka akan didakwa di mahkamah majistret kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 5:04 PM