Keadaan kereta yang terseret sejauh 200 meter selepas dilanggar kereta api. FOTO Khairull Azry Bidin
Suzianah Jiffar
suzianah@nstp.com.my


DUA lelaki parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh kereta api di landasan di Jalan Lapangan Terbang KKIA berhampiran Tugu Peringatan Petagas, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari, kereta PROTON Preve dinaiki Mohd Amir Khairi Abdul Ghani, 20, dan Daniel Safuan Omar, 22, diseret sejauh 200 meter menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami pelbagai kecederaan.

Kedua-dua mangsa kemudian diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.18 tengah hari sebelum menghantar 11 anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga peniaga di gerai cendol berhampiran, Abdul Karim Abdul Ghani, 64, berkata, dia terdengar siren kereta api sebelum dentuman kuat lalu mendapati berlaku kemalangan antara sebuah kereta dan kereta api.

Menurutnya, kereta terbabit diheret kereta api berkenaan sebelum berhenti kira-kira 200 meter dari simpang laluan ke kawasan Tugu Peringatan Petagas.

“Hujan renyai ketika kejadian dan saya pun tidak pasti sama ada penghadang di lintasan kereta api itu berfungsi.

“Saya dimaklumkan kedua-dua pemandu dan penumpang kereta itu adalah orang kampung saya juga. Saya harap mereka tidak apa-apa,” katanya.

Kereta api itu dalam perjalanan dari Beaufort menuju ke Stesen Tanjung Aru manakala kereta dinaiki dua mangsa dipercayai cuba melintas landasan.

Sementara itu, penumpang kereta api, Sazali Shari, 38, berkata, mereka hanya sedar ada kemalangan apabila kereta api terbabit berhenti secara tiba-tiba dan tiada penumpang kereta api mengalami kecederaan.

“Saya duduk di gerabak paling belakang dan tidak dengar apa-apa kecuali bunyi siren dan kereta api itu bergerak agak perlahan. Kami hanya sedar ada kemalangan selepas kereta api itu tiba-tiba berhenti,” katanya.

Kereta api itu kemudian meneruskan perjalanan ke Stesen Tanjung Aru pada jam 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 4:00 PM