GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


POLIS menafikan kejadian banduan terlepas ketika dibawa dengan trak pasukan itu di Bagan Serai seperti yang tular di media sosial, semalam.

Mesej individu yang tidak dikenali identitinya itu memaklumkan ada banduan melarikan diri ketika kenderaan itu tiba di lampu isyarat di kawasan Masjid Tinggi, dekat sini, dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta mengunci pintu dan tidak membenarkan orang tidak dikenali memasuki rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, mengesahkan mesej tular itu tidak benar.

Katanya, gambar trak milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian itu sebenarnya rosak ketika dalam perjalanan pulang dari Taiping selepas membawa Orang Kena Tahan (OKT) hadir bicara di Mahkamah Taiping petang semalam.

“Perkara itu itu disahkan palsu dan gambar kejadian itu sebenarnya kenderaan yang membawa OKT mengalami kerosakan ketika tiba di Masjid Tinggi.

“Ada pihak yang telah mengambil gambar kejadian dan memutarbelitkan (fakta) gambar itu dan menyebarkannya ke WhatsApp kononnya ada banduan berjaya meloloskan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program ‘Community Policing’ Acara menembak IPD Kerian Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan di Lapang Sasar Balai Polis Sungai Bayur, Selama, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, pihaknya turut menerima mesej tular berkenaan, namun tiada laporan dibuat berhubung kejadian itu.

Katanya, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana individu yang menyebarkan sebarang maklumat palsu kerana ianya boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan masyarakat termasuk pihak polis.

Mengenai program menembak yang diadakan hari ini, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan program itu kerana ia dapat mengeratkan lagi silaturahim antara pegawai dan kakitangan semua jabatan serta melatih anggota dan orang kenamaan mengenai cara pengendalian senjata dengan betul.

Katanya, program hari ini disertai lebih 100 peserta termasuk pihak media.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 3:28 PM