ANTARA botol arak dyang mengandungi bahan Metanol dirampas oleh sepasukan Polis di Jalan Selingsing 4. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my

JUMLAH mangsa maut akibat minum arak beracun di negara ini terus meningkat apabila seramai 37 individu dilaporkan sudah meninggal dunia sehingga semalam.

Pertambahan itu membabitkan tiga kes kematian terbaru di Selangor dan satu kes di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes kematian di Selangor meningkat kepada 23 kes dan di Kuala Lumpur meningkat kepada 11 kes.

Katanya, Perak masih kekal dengan tiga kematian.

"Warga Myanmar masih kekal mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu sebanyak 11 kematian diikuti oleh warga tempatan sebanyak 10 orang, warga Nepal sebanyak lapan kematian dan masing-masing dua kematian membabitkan warga Bangladesh dan India.

"Empat lagi individu yang maut akibat arak beracun itu gagal di kenal pasti kewarganegaraan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga semalam juga, sebanyak enam kes baru keracunan arak dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhannya meningkat kepada 93 kes.

“Pertambahan itu membabitkan empat kes baru di Perak dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

“Ia menjadikan jumlah kes di Kuala Lumpur meningkat kepada 17 kes manakala di Negeri Sembilan meningkat kepada dua kes.

“Kes keracunan arak di Selangor dan Perak pula kekal sebanyak 62 kes dan 12 kes," katanya.

Noor Hisham berkata, sebanyak lapan pesakit yang sebelum ini dirawat di fasiliti milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sudah pun dibenarkan pulang.

Menurut Noor Hisham, seramai 23 lagi pesakit masih menerima rawatan di 12 hospital sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan.

"Daripada 23 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital, lapan pesakit berada dalam keadaan kritikal," katanya.

Beliau berkata, KKM menerusi Bahagian Kesihatan Awam dan Keselamatan Kualiti Makanan (BKKM) sudah menjalankan pemeriksaan di 988 premis yang menjual arak dan sehingga semalam, sebanyak 4,489 botol arak dirampas kerana tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Katanya, KKM akan terus memantau situasi kes keracunan arak itu dari masa ke semasa dan menyeru masyarakat untuk membawa terus ahli keluarga atau rakan yang mengalami simptom keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan ke klinik kesihatan atau hospital terdekat untuk rawatan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 1:16 PM