Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my

PENGERUSI Maybank Asset Management Group Bhd (MAMG) Dr Hasnita Hashim dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baru berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, Hasnita yang mempunyai kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang nuklear fizik dari Oxford University.

Menurutnya, Hasnita turut mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam pengurusan kewangan global dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Guidance Investments, anak syarikat Guidance Financial Group.

“Beliau memulakan kariernya di Coopers & Lybrand Deloitte, London sebagai seorang aktuari. Selain itu, beliau juga adalah ahli Institute of Actuaries.

“Kini, beliau adalah Pengerusi MAMG dan juga ahli lembaga pengarah Maybank Banking Bhd (Maybank),” katanya.


Hasnita

Selain itu, Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan enam ahli majlis MARA yang baru iaitu Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holdings Bhd Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin.

Ahli majlis MARA yang lain termasuk Pengerusi Mayban Life Assurance Bhd Datuk Syed Tamin Ansari Syed Mohamed; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd (AMB) Zakri Khir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:29 PM