BEBERAPA bakul sayur milik penjaja haram dirampas anggota MPAJ.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita barangan milik penjaja haram warga asing dalam serbuan di dua lokasi di Kampung Tasek Permai dan Klinik Kesihatan Ampang di sini, kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ Norhayati Ahmad berkata, operasi dijalankan susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan warga asing berkenaan.

“Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa, Rosli Jaafar dan 20 anggota merampas pelbagai barangan milik penjaja berkenaan.

“Antara barang dirampas adalah 26 kotak ikan, 11 bakul berisi sayur, 14 ekor ayam, dua tong, satu khemah kecil dan enam kerusi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Norhayati berkata, ketika serbuan dijalankan semua peniaga warga asing yang menjaja secara haram itu melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati semua peniaga berkenaan tidak mempunyai lesen dan permit sah untuk menjalankan aktiviti penjaja.

“Operasi tamat jam 12 tengah hari dan MPAJ tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan,” katanya.

Katanya, tindakan sita diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (MPAJ) 2007.

“Tindakan berterusan akan dijalankan terhadap warga asing yang masih berdegil menjalankan perniagaan secara haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:00 PM