BUKIT Maras memiliki beberapa kelebihan untuk menjadi destinasi popular bagi sukan luncur udara. FOTO Ghazali Kori.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@nstp.com.my


DULUNYA, Bukit Maras di Kuala Nerus, hanya terkenal dengan dusun durian serta hasil hutan seperti petai, namun kini berpotensi untuk muncul sebagai ‘syurga’ sukan luncur udara utama bukan saja di negara ini, malah di peringkat antarabangsa.

Mana tidaknya, kawasan ini mempunyai pelbagai ciri unik yang teradun dalam satu antaranya pemandangan Laut China Selatan, bandar raya Kuala Terengganu, kepelbagaian flora dan fauna, sisi hutan menghijau serta lokasi menarik untuk melihat matahari terbenam.

Hanya memakan masa perjalanan kira-kira setengah jam dari bandar raya Kuala Terengganu, bukit dengan ketinggian 330 meter itu seharusnya menjadi lokasi wajib untuk dikunjungi penggemar sukan luncur udara.

Pengasas Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM) Kapten Ikhwan Azillah yang berpengalaman hampir 20 tahun dalam sukan luncur udara dan sudah berkunjung ke banyak negara, turut mengakui keistimewaan Bukit Maras.

“Saya boleh katakan dari segi lokasi, Bukit Maras sangat sesuai untuk sukan luncur udara dan setanding jika tidak lebih baik berbanding lokasi luncur udara terkenal dunia.

“Jaraknya tidak begitu jauh dari Kuala Terengganu dan saya boleh katakan tempat ini bukan saja cantik dengan pemandangan, malah sangat sesuai dengan sukan luncur udara kerana angin dari Laut China Selatan memudahkan kita melakukan aktiviti ini.

“Cuma pihak kerajaan tempatan perlu melakukan penambah baikan contohnya sediakan tandas di puncak bukit ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Luncur Udara Terengganu, Anuar Ngah berkata, sukan luncur udara di Bukit Maras sesuai dijadikan produk pelancongan terbaru di negeri ini.

Beliau berkata, ketika mereka membawa beberapa peluncur udara profesional antaranya dari Perancis dan Switzerland mencuba aktiviti itu di Bukit Maras, mereka begitu mengagumi serta memuji landskap dan pakej yang ada di Bukit Maras.

Katanya, rata-rata daripada mereka bersetuju lokasi ini memang berpotensi menjadi tarikan peluncur udara dunia.

“Saya dan beberapa rakan membuka sendiri laluan dan kawasan puncak bukit itu pada 2016.

“Ketika itu, saya memang mencari lokasi sesuai untuk sukan luncur udara di Terengganu terutama kawasan berdekatan dengan bandar raya Kuala Terengganu.

“Apabila membuat tinjauan menggunakan aplikasi Google Earth, saya terjumpa lokasi ini dan selepas berbincang bersama beberapa rakan dan mendapat kebenaran pihak berkuasa, kami mulakan kerja membuat laluan pada Mei tahun lalu dan siap Oktober tahun sama,” katanya.

Anuar berkata, bagi yang ingin mencuba aktiviti luncur udara di Bukit Maras, pihaknya bercadang menganjurkan Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (TIPCO) tahun depan selepas tidak berjaya melakukan penganjuran tahun lalu berikutan kekangan kewangan.

Beliau berkata, mereka yang ingin mencuba aktiviti berkenaan boleh datang ke Bukit Maras dan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM250.

Katanya, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) atau orang ramai boleh mendaki sendiri ke puncak bukit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:23 AM