KEADAAN kereta Ferrari selepas terbabit dalam kemalangan dengan motosikal dinaiki tiga beranak di Jalan Berjaya, Bukit Mertajam. (Gambar kecil) mangsa terbaring di atas jalan selepas kemalangan. FOTO ihsan pembaca.
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


TIGA beranak menempuh detik cemas selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta Ferrari dalam kemalangan di Jalan Berjaya, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun menunggang motosikal yang dibonceng isterinya berusia 31 tahun serta anak mereka berusia tiga tahun dari arah Jalan Song Ban Kheng menuju ke Jalan Maju.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata ketika tiba di lokasi kejadian, lelaki itu didapati mengubah haluan dari kiri ke kanan hingga bertembung dengan Ferrari dipandu jurujual berusia 31 tahun.

“Akibatnya, motosikal mangsa terbalik menyebabkan dua pembonceng iaitu isteri dan anaknya cedera di kaki serta luka di muka dan mulut.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Bukit Mertajam, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan.

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan saman ke atas pemandu Ferrari terbabit berikutan memandu kenderaan yang cukai jalannya sudah tamat tempoh.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 11:22 PM