LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai kertas siasatan terhadap Rosmah sudah diserahkan kepada Peguam Negara.
Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my


ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pagi esok.

Rosmah dipanggil selepas menerima notis untuk memerintah kehadiran ke ibu pejabat SPRM di kediamannya di Langgak Duta, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut sumber, tindakan memanggil Rosmah bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram dilakukan.

Sebelum ini, pada 5 Jun lalu, Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberikan keterangan berhubung kes SRC International.

Bagaimanapun pada masa ini masih belum dapat dipastikan sama ada kehadirannya esok ke pejabat SPRM sekadar merakam percakapan atau terus dibawa ke mahkamah untuk tujuan pertuduhan.

Terdahulu, anak Rosmah, Riza Aziz, yang juga Ketua Eksekutif Red Granite Pictures, dipanggil ke pejabat Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini, bagi memberikan keterangan dalam siasatan terhadap dakwaan menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul, memberitahu bahawa pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan terhadap Rosmah dan sudah menyerahkannya kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan.

Sementara itu, tinjauan media sejak 4 petang di laluan masuk ke rumah Datuk Seri Najib Razak tidak melihat sebarang kehadiran kenderaan SPRM, sebaliknya kelihatan beberapa kenderaan tidak berlogo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 7:37 PM