PADANG BESAR 25 SEPTEMBER 2018. AKSEM Perlis berjaya menahan seorang wanita Thailand bersama 32 guni ketum bernilai RM63,120 di sebuah rumah di Kampung Melayu, Padang Besar semalam.NSTP/IHSAN AKSEM
Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis berjaya menyerbu sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan 789 kilogram (kg) daun ketum di Kampung Melayu di sini, semalam.

Komandernya, Syed Basri Syed Ali, berkata dalam serbuan pada jam 10 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang wanita warga Thai berusia 40-an yang mengaku daun ketum bernilai RM63,120 itu adalah miliknya.

“Hasil maklumat risikan, anggota AKSEM ke rumah berkenaan dan memanggil tuan rumah dari luar pagar yang berkunci, namun tiada siapa keluar.

“Pihak kami kemudian bertindak masuk ke kawasan rumah dan menemui seorang wanita bersama sejumlah guni berisi daun ketum di sekitar rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Basri berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 32 guni putih berisi daun ketum dipercayai dalam proses diseludup ke negara jiran.

“Sejumlah 15 guni ditemui di garaj kereta manakala 17 guni lagi di bahagian tepi rumah dan wanita itu mengaku kesemua ketum itu adalah miliknya.

“Pihak kami percaya kesemua ketum berkenaan akan diseludup ke negara jiran memandangkan kesemua guni diikat kemas dan tersusun rapi ketika ditemui,” katanya.

Katanya, semua daun ketum dan wanita terbabit kemudian dibawa ke Kompleks AKSEM Padang Besar dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Kes itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 3:36 PM