ANTARA arak yang dirampas pihak berkuasa sebelum ini. FOTO Arkib NSTP
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my

POLIS Selangor menahan lima lagi individu melalui Ops Methanol bagi membantu siasatan berhubung keracunan arak yang mengorbankan 24 orang, di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, ia menjadikan keseluruhan tangkapan sehingga semalam berjumlah 15 orang dalam 17 serbuan yang dilakukan di sekitar negeri itu.

Beliau berkata, semua yang ditangkap berusia antara 20-an hingga 50-an, terdiri daripada peniaga serta pekerja kedai serbaneka dan kedai runcit.

“Seramai lapan warga tempatan dan tujuh warga asing yang ditahan. Mereka ditahan di Shah Alam (lima); Gombak (tiga); Klang Selatan (tiga); Sungai Buloh dan Kajang masing-masing dua individu.

“Setakat ini, jumlah mangsa yang maut seramai 24 orang, manakala yang masih dirawat di hospital (17) dan selebihnya sudah dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Perkarangan Menara Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Mazlan berkata, pihaknya turut merampas 1,480 botol arak dan 1, 670 tin bir pelbagai jenama bagi membantu siasatan.

“Kesemua ini sebagai bahan bukti untuk kami buat analisis dengan pihak Jabatan Kimia bagi menentukan sama ada (kejadian akibat) keracunan atau punca dari permis ini.

“Selain itu, kita juga sedang menyiasat siapa pembekal dan di mana ia dibuat. Setakat ini, masih menyiasat dan belum ada lagi petunjuk di mana ia dibuat dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, polis juga sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam siasatan kes keracunan arak itu.

Katanya, ia termasuk kerjasama dalam memastikan ketulenan label pada penutup botol arak yang dirampas berikutan terdapat dakwaan yang mengatakan sebahagian botol arak ini mempunyai label Kastam.

“Perkara ini perlu diperiksa selain memastikan kesahihan logo tersebut sama ada tulen atau diciplak, namun setakat ini arak-arak dirampas tiada label Kastam.

“Selain itu, semua bukti yang diperolehi sudah dihantar ke Jabatan Kimia bagi pemeriksaan. Kita belum menerima laporan bedah siasat secara rasmi daripada Jabatan Kimia memandangkan jabatan itu sedang menganalisis kandungan arak yang dirampas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 12:01 PM