AHLI RBC bergabung tenaga menjalankan kerja kebajikan sambil meronda.
Norizuan Shamsuddin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Mereka sanggup menunggang motosikal merentasi antara negeri dengan jarak ratusan kilometer semata-mata mahu berbakti dan menceriakan kehidupan orang lain.

Itu antara contoh pengorbanan sekumpulan pemilik motosikal berkuasa tinggi yang juga ahli Restu Bikers Club (RBC) yang aktif dalam program kemasyarakatan.

Terbaru pada 2 September lalu, ahli RBC berkonvoi ke Surau Baitulrrahman, Perumahan Awam Bagan Datoh, Perak untuk menjayakan program gotong-royong membersihkan bangunan itu.

Presiden RBC, Mohd Norddin Mokhtar berkata, program Konvoi Amal Restu Muhibah itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kelab berkenaan dan menunjukkan rasa prihatin mereka kepada masyarakat.

“Program itu dijayakan 20 penunggang motosikal kuasa tinggi yang menyahut cabaran semata-mata mahu berbakti kepada orang ramai.

“Penganjuran program CSR ini bertujuan untuk memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan pemilik motosikal kuasa tinggi dan pada masa yang sama mengeratkan hubungan silaturahim antara kami,” katanya.

Mohd Norddin berkata, selain bergotong-royong membersih dan mengindahkan surau berkenaan, RBC turut menyampaikan wang sumbangan kepada jawatankuasa surau berkenaan.

Menurutnya, wang sumbangan disampaikan adalah hasil kutipan dalam kalangan ahli kelab itu.


AHLI RBC gotong-royong membersihkan Surau Baitulrahman di Putra Height, Subang Jaya.

Menurut Norddin, sejak ditubuhkan pada Ogos 2015, RBC sudah menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan dengan golongan miskin, anak yatim, asnaf dan individu kurang bernasib baik menjadi keutamaan mereka.

“Kami juga kerap dipanggil untuk mengiringi pengantin ke majlis persandingan dan membantu aktiviti kempen anjuran jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ia memberi manfaat kepada orang ramai.

“Malah, kami turut bekerjasama dengan kelab motosikal kuasa tinggi lain bagi menjayakan program antaranya Ride Bersekutu dianjurkan setiap hujung tahun membabitkan penunggang motosikal kuasa tinggi dari setiap negeri.

“Program itu menjadi aktiviti tahunan RBC bagi mengeratkan silaturahim antara penunggang motosikal kuasa tinggi,” katanya.

Katanya, program berkenaan akan terus dianjurkan pada masa akan datang dan beliau berharap lebih ramai penunggang akan turut serta menjayakan program kemasyarakatan bersama RBC.

Setakat ini, RBC mempunyai 75 ahli dalam kalangan penunggang motosikal kuasa tinggi yang menetap sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 9:59 AM