Pelajar buta bagi kategori B1, Siti Shahirah Mohd Sahidi, 12, (kanan) dan Wan Farah bersiap sedia untuk menjawab UPSR 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi
cnews@nstp.com.my


WALAUPUN mengalami masalah penglihatan sejak berusia tiga tahun namun ia tidak mematahkan semangat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Sireh, di Kota Bharu berusaha memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini.

Calon Berkeperluan Khas (CBK) Wan Farah Hayati Wan Mohd Ghazali, 12, menggunakan Braille untuk menjawab soalan UPSR adalah salah seorang daripada empat CBK yang menduduki UPSR di sekolah berkenaan.

Wan Farah Hayati berkata, biarpun mempunyai kekurangan, dia juga ingin berjaya ke menara gading seperti kakak sulungnya yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Dalam ujian percubaan yang lalu, saya hanya mendapat 2A, namun itu menjadi pembakar semangat untuk saya belajar dengan bersungguh-sungguh dan meletakkan sasaran memperoleh keputusan 4A dalam peperiksaan yang akan diumumkan nanti.

“Sebelum menduduki ujian pagi ini, saya sudah membuat persiapan dengan melakukan ulang kaji soalan peperiksaan yang lalu dan yakin dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik,” katanya ketika ditemui sebelum peperiksaan UPSR bermula di SK Kampong Sireh hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, abangnya berusia 13 tahun yang kini sedang belajar di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur turut mempunyai masalah yang sama..

“Walaupun saya dan abang tidak dapat melihat, namun kami berdua bertekad untuk membuktikan turut lakukan yang terbaik dalam pelajaran seperti rakan-rakan yang lain,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.

Sementara dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), seramai 28,551 calon menduduki peperiksaan itu di 446 pusat peperiksaan di seluruh negeri pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, 13 calon menduduki ujian di hospital dan 26 adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK).

Calon daripada Sekolah Kebangsaan (SK) seramai 26,853; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 850; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) 1; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) 66; Yayasan Islam Kelantan (YIK) 303; dan 478 calon swasta 478.

Seramai 2,823 pengawas peperiksaan ditugaskan untuk mengendalikan peperiksaan itu agar ianya berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 12:56 PM