Aya Emad rupa-rupanya berada di rumah selepas tidak melapor diri sebaik turun dari Gunung Serapi. FOTO Ihsan Bomba.
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


KETIKA sepasukan anggota bomba dan penyelamat meredah kegelapan malam mencarinya di kawasan pendakian di Gunung Serapi, malam tadi, wanita Arab yang dilaporkan hilang di gunung itu rupa-rupanya berada di rumahnya.

Aya Emad Mohammad ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk anggota polis yang memeriksa kediaman wanita berusia lingkungan 20-an di Batu Kawa, di Kuching, kira-kira jam 11.40 malam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, berikutan penemuan itu, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya yang diketuai Asmadi Nawi membatalkan operasi, selepas hampir dua jam pencarian dijalankan.

"Wanita itu mengakui tidak melapor diri di kaunter khidmat pelanggan Taman Negara Kubah selepas mendaki Gunung Serapi, petang semalam," katanya.

Wanita terbabit dikatakan hilang selepas petugas Taman Negara Kubah menyedari dia gagal melapor diri di kaunter khidmat pelanggan bersama pendaki lain pada jam 4 petang.

Dia mendaftar di kaunter khidmat pelanggan untuk mendaki Gunung Serapi pada jam 11.21 pagi dan memaklumkan akan ke dua lokasi yang berbeza iaitu ke air terjun Kubah yang terletak di tengah gunung dan kemudian berhasrat untuk menyusuri denai Selang.

Ketika mendaftar masuk ke Taman Negara Kubah, wanita itu bersendirian namun selepas itu dia bergerak bersama sekumpulan pelawat lain dan pada jam 4 petang semua pelawat sudah melapor diri ke kaunter khidmat pelanggan namun apabila diperiksa oleh pegawai di kaunter itu, didapati dia belum melapor diri.

Pada jam 4.15 dia masih juga tidak melapor diri dan dua petugas mula mencari di dua lokasi iaitu air terjun Kubah dan denai Selang.

Bagaimanapun, mereka gagal mengesan wanita itu sehinggalah bomba dihubungi pada jam 8.14 malam untuk memohon bantuan mengesannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 11:13 AM