Caption<GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


SELEPAS operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang hilang selama tujuh hari di Gunung Singai berakhir dengan penemuan mangsa, hari ini, seorang lagi pendaki dilaporkan hilang di gunung berdekatan, malam ini.

Kejadian berlaku di Gunung Serapi di dalam kawasan Taman Negara Kubah yang terletak berdekatan dengan Gunung Singai.

Kehilangan warga Arab Saudi, Aya Emad Mohammad, 20-an disedari petugas Taman Negara Kubah apabila mangsa gagal melapor diri di kaunter khidmat pelanggan bersama pendaki lain pada 4 petang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menggerakkan operasi SAR selepas menerima panggilan daripada pengurusan Taman Negara Kubah pada 8.14 malam ini.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya.

“Sehingga jam 10 malam ini, anggota kami masih lagi menjalankan pencarian di sepanjang trek pendakian di gunung berkenaan.

“Berdasarkan maklumat petugas Taman Negara, wanita itu mendaftar di kaunter khidmat pelanggan untuk mendaki Gunung Serapi pada 11.21 pagi tadi,” katanya.

Ling Hii berkata, wanita itu memaklumkan dia akan ke dua lokasi iaitu air terjun Kubah Waterfall yang terletak di tengah gunung dan berhasrat untuk menyusuri denai Selang.

Katanya, pada mulanya wanita itu dikatakan berseorangan tetapi kemudian bergerak bersama sekumpulan pelawat lain.

“Semasa taklimat daripada pegawai petugas Taman Negara kepada semua pelawat, mereka dikehendaki balik atau mula turun tidak boleh lewat pada 4 petang.

“Semua pelawat melapor diri ke kaunter khidmat pelanggan pada waktu ditetapkan, namun apabila diperiksa didapati pendaki wanita itu belum melapor diri,” katanya.

Katanya, sehingga 4.15 petang tadi, mangsa masih tidak melapor diri dan dua petugas mula mencari di air terjun Kubah dan denai Selang.

“Bagaimanapun, mereka gagal mengesan wanita itu sehinggalah laporan dibuat kepada pihak bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 10:35 PM