AZAM Baki.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


PESAWAT Bombardier Global 500 bernilai RM143 juta serta tiga lukisan terkenal karya Pablo Picasso, Vincent Van Gogh dan Claude Monet bernilai lebih RM400 juta antara barangan berharga dikaitkan dengan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam usaha dibawa pulang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Malaysia.

Semua aset bernilai itu termasuk barang kemas berharga lebih RM34.96 juta adalah milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dibeli atau diperoleh menggunakan dana 1MDB diseleweng sebelum ini.

Selain itu SPRM turut berusaha memperoleh semula wang bagi penghasilan filem Wolf of Wall Street serta hartanah di beberapa negara yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM3.98 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, SPRM sudah mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan semula aset dirampas kerajaan beberapa negara yang turut menyiasat 1MDB seperti AS, Switzerland dan Singapura.

Katanya, permohonan itu dibuat menerusi Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang dibuat kepada negara berkenaan.

“Satu objektif siasatan SPRM untuk membawa balik aset di luar negara yang diperoleh menggunakan dana 1MDB yang diseleweng.

“Jadi, untuk memperoleh semula aset itu, kita memerlukan bantuan negara terbabit dan sudah pun memulakan permohonan menerusi Bantuan Perundangan Bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA) kepada kerajaan negara berkenaan,” katanya selepas program bual bicara SPRM 360 terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama, semalam.

Azam berkata, jika aset serta barangan berkenaan tidak boleh diperoleh atas faktor tertentu, SPRM berharap untuk mendapatkannya dalam bentuk wang tunai.

“Sebelum ini, kita sudah pun memperoleh kapal layar Equanimity yang diserahkan kerajaan Indonesia dan dipercayai dibeli menggunakan wang 1MDB.

“Jadi, kita harap dapat membawa pulang pelbagai aset lain atau memperoleh semula dalam bentuk wang tunai yang bersamaan nilai barang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas sama ada saksi luar negara seperti selebriti antarabangsa Leonardo Di Caprio akan dibawa ke sini untuk dirakam keterangan sebagai saksi siasatan 1MDB, beliau berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Katanya, ia tidak diperlukan kerana pegawai khas SPRM dengan kerjasama pihak berkuasa negara luar boleh mengumpul keterangan saksi di negara terbabit.

“Bagi proses itu, kita hanya memerlukan dokumentasi keterangan yang direkodkan oleh pihak berkuasa negara berkenaan untuk digunakan dalam pendakwaan di negara ini.

“Jadi, kita tidak perlu kehadiran mereka sebagai saksi dalam perbicaraan dijalankan,” katanya.

Pada Jun 2017, Leonardo Di Caprio memulangkan semula beberapa hadiah termasuk karya seni Picasso diterima daripada Jho Low yang dipercayai dibeli menggunakan wang 1MDB.

Malah, pada 7 Ogos lalu, kapal layar Equinimity bernilai 1 bilion ringgit yang dibeli menggunakan dana 1MDB dibawa pulang ke Malaysia.

Kapal itu disita atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana terbabit dengan siasatan rasuah 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 5:00 AM