(Gambar fail) Mustafar (duduk dua dari kanan) memeriksa salinan pengenalan diri pekerja asing semasa operasi penguatkuasaan selepas tamat Program 3+1 iaitu program serah diri dan pulang secara sukarela di sebuah kilang di Sepang awl bulan ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my

SERAMAI 338 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja secara haram di sebuah kawasan kilang di Cyberjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Bersepadu dijalankan, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan dijalankan Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM pada jam 6 petang itu membabitkan kekuatan seramai 71 anggota.

Katanya, dalam operasi itu, seramai 2,230 orang termasuk warga tempatan diperiksa dan JIM berjaya menahan seramai 338 warga asing membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas tiga blok kilang yang terbabit dalam operasi pembuatan, pembungkusan dan logistik di mana setiap satunya mempunyai antara 400 hingga 500 pekerja.

“Hasil pemeriksaan itu, JIM menahan 172 wanita Indonesia dan tiga wanita Myanmar, 55 lelaki Bangladesh, 47 lelaki Nepal, 36 lelaki Indonesia serta 25 lelaki Myanmar yang tidak mempunyai dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafar berkata, kebanyakan yang ditahan didapati menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki syarikat lain serta melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, beberapa syarikat juga dikesan melanggar undang-undang dengan mengambil jalan mudah mengupah pekerja yang sepatutnya bekerja untuk syarikat lain.

“Menerusi permit PLKS dikeluarkan, seseorang itu hanya boleh bekerja di alamat, kawasan serta tempat yang tertera dalam permit itu.

“Dalam operasi semalam, kebanyakan mereka tidak mengikuti peraturan berkenaan dan ditahan kerana melanggar syarat pas berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu antara kesalahan lain dilakukan adalah ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pelanggaran syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, semua tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil bagi tujuan siasatan serta tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 7:45 PM