Mohamad (kanan) beramah mesra dengan Syed Hamid (dua kiri) dan Syed Ali (kiri) di Dewan Tun Razak,Temerloh. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Abdul Razak Raaff dan Amin Ridzuan Ishak
cnews@nstp.com.my

KEHADIRAN bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar pada sambutan Ulang Tahun Ketiga Parti Amanah Negara (AMANAH) di Dewan Tun Razak di Temerloh, hari ini menarik perhatian ramai.

Ini kerana kehadirannya bersama Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menimbulkan persoalan sama ada bekas Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu akan menyertai AMANAH.

Pada 29 Jun lalu, Syed Hamid mengumumkan keluar UMNO dengan memberikan alasan parti itu sudah lari daripada perjuangan asalnya.

Bagaimanapun, usaha media menemubual mereka gagal kerana kedua-duanya terus beredar meninggalkan majlis selepas Presiden AMANAH Mohamad Sabu selesai berucap.

Dalam pada itu, Mohamad ketika mengulas mengenainya berkata, kehadiran Syed Hamid dan Syed Ali memberi petanda yang AMANAH semakin mendapat perhatian ramai.

“Kehadiran mereka di sini sudah menunjukkan petanda baik, bahasa tubuh mereka jika dibaca, sudah nampak positif. Kita mengalu-alukan kehadiran mereka jika mereka mahu sertai AMANAH.

“Hari ini kita turut menerima lebih banyak borang, kita terkejut kerana lebih ramai orang Cina dan India berbanding Melayu yang menyerahkan borang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada sambutan ulang tahun ketiga AMANAH di Temerloh, hari ini.

Mengulas mengenai Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamad, beliau berkata, pihaknya tidak mendapat maklumat yang bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan menyertai parti berkenaan selepas keluar UMNO baru-baru ini.

“Kita alu-alukan jika beliau menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan, kalau AMANAH kita boleh bincang, beliau bekerja kuat dan kehadiran sebagai pembangkang cukup rajin serta ambil perhatian setiap perbahasan.

“Tidak tahu apa alasan beliau keluar UMNO, tetapi kalau hendak sertai kita adalah dialu-alukan,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, setakat ini, parti itu mempunyai kira-kira 100,000 ahli dengan 10 peratus daripada bukan Melayu.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan pertambahan sebanyak 50,000 ahli baharu menyertai parti yang ditubuhkan pada September 2015 sehingga hujung tahun ini.

“Matlamat parti ialah memiliki keahlian sehingga 500,000 orang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15… kita yakin boleh mencapainya berdasarkan sambutan diterima di setiap negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 5:10 PM