LYE didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas tuduhan menjalankan aktiviti pembedahan kecantikan haram di premis tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Bukit Mertajam. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@nstp.com.my


IBU tunggal anak satu yang juga juru kecantikan didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas tuduhan menjalankan aktiviti pembedahan kecantikan haram di premis tanpa lesen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Bukit Mertajam, Januari tahun ini.

Tertuduh, Lye Chin Ying,22, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 11.50 pagi 23 Januari 2018 di premis di Kompleks BM City, Lye menyediakan satu klinik perubatan swasta tidak berdaftar mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 5(1) dibaca bersama Subseksyen 4(1) Akta 586 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya.

Lye mengangguk faham selepas mendengar pertuduhan dibacakan sebelum mengaku bersalah.

Peguam tertuduh, Mohd Hisham Mohd Nazir dalam rayuannya meminta mahkamah agar mengurangkan hukuman ke atas anak guamnya selepas dia memberikan kerjasama penuh kepada mahkamah dan mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan.

“Tertuduh adalah ibu tunggal dan terpaksa menanggung seorang anak lelaki berusia setahun dan selepas klinik berkenaan diserbu pihak berkuasa, dia sudah tidak mempunyai kerja.

“Anak guam saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan kliniknya itu hanya sempat beroperasi sebulan sebelum ditutup ekoran serbuan dan rampasan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syahieza Md Hadzaid memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana ia membabitkan kepentingan umum.

“Berlaku peningkatan dalam statistik membabitkan kes klinik kecantikan di negara ini ekoran wujudnya klinik swasta yang beroperasi tanpa lesen dan bagi menjaga kepentingan orang ramai pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan tertuduh.

“Kepentingan awam perlu mengatasi kepentingan peribadi dan dalam kes ini, hukuman sesuai akan memberi pengajaran kepada tertuduh serta orang ramai untuk tidak cenderung mengulangi kesalahan ini,” katanya.

Noor Aini kemudian menjatuhkan hukuman denda RM40,000 ke atas tertuduh dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayarnya.

Berdasarkan penghakimannya, Noor Aini berkata, mahkamah mengambil kira kepentingan awam tambahan ia membabitkan keselamatan pengguna.

“Selepas mengambil kira rekod jenayah lampau tidak dimiliki tertuduh dan ia adalah pertuduhan pertama dihadapinya, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM40,000 ke atasnya dan penjara enam bulan sekiranya gagal dibayar serta barang rampasan dilupuskan selepas habis tempoh rayuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 2:55 PM