PEMANDU maut apabila lori muatan ayam terbabas ke dalam longkang di berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampung Pelang.
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my

Gerik: Lelaki maut apabila lori dipandunya terbabas ke dalam longkang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pelang, di sini, semalam.

Mangsa, Yeong Swee Yin, 58, berasal dari Kampung Wan Mohamad, di sini maut tersepit di tempat duduk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Kamarul Ariffin Abd Ghani berkata, anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.13 pagi.

“Kami tiba di lokasi kejadian dan mendapati lori satu tan Daihatsu yang membawa muatan ayam terbabas ke longkang dengan pemandunya tersepit.

“Kami memotong dan meregangkan bahagian lori terbabit sebelum mengeluarkan mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya di sini.

Kamarul Ariffin berkata, lori itu dipercayai melanggar pembahagi jalan susur ke dewan orang ramai berdekatan kawasan berkenaan sebelum tersepit di ruang pemandu.

Beliau berkata, posisi lori berada dalam keadaan senget kerana sebahagian tayar yang memasuki longkang, namun muatan ayam termasuk yang siap diproses tidak berterabur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:14 AM